Degupan Jantung Terhenti, Zila Bakarin Redha Ketentuan Allah

Sejak semalam ramai yang berteka-teki mengenai status dan kapsyen dimuat naik pelakon Zila Bakarin dalam akaun instagram miliknya. Zila menulis, “inilah takdirnya… Allah maha memahami… tunggu mama di sana ye… #Redha #kerjatuhan #anaksyurga #bukan rezeki.” Ramai meramalkan yang Zila Bakarin keguguran kandungan.

Gambar dan kapsyen dimuatnaik Zila di akaun instagramnya semalam.

Apabila dihubungi, Zila menjelaskan kepada MM perkara sebenar yang berlaku terhadap dirinya.

“Yang sebenarnya, Zila pun tak sangka pada usia 43 tahun ini, ditakdirkan Zila hamil lagi. Pada mulanya agak takut dan khuatir apabila mengandung pada usia yang lewat ini. Setelah suami dan keluarga serta doktor memberi dorongan, perasaan takut bertukar gembira.

“Bahkan Zila terus mencari maklumat tentang kehamilan di lewat usia. Banyak info sudah Zila perolehi dan sudah pun bersedia dengan membeli  suplimen untuk menjadikan kandungan kuat dan baik. Maklumlah dah agak lama tak hamil, keghairahan jadi lain macam. Suami dan anak-anak pun sangat teruja,” ujar Zila dengan gembira.

Keluarga bahagia… Zila bersama suami, Azri dan anaknya, Kaseh dan Chinta.

Sekarang, Zila memiliki dua orang cahaya mata yang comel, Kaseh (9 tahun) dan Chinta (6). Zila mengahwini juru kamera bebas Azri Izhar pada tahun 2008.

Daripada suasana ceria bertukar nada sedih, sambung Zila, “Semalam pada 24 September apabila Zila membuat pemeriksaan untuk kandungan, tiba-tiba doktor terdiam. Beberapa kali doktor ulang membuat scan. Terus Zila bertanya, kenapa doktor?

“Jawab doktor, saya hairan kenapa tidak ada degupan jantung bayi? Sepatutnya dalam kandungan 10 minggu, keadaannya lain berbanding sebelum ini. Tumbesaran bayi pun seperti tidak ada.

“Zila betul-betul sedih kerana dalam keadaan suami dan anak-anak sedang excited untuk ada baby baru, tapi macam ini jadinya. Cuma minta doktor, pada 1 Oktober nanti supaya datang menemuinya semula untuk rawatan susulan. Sekiranya tidak ada apa-apa yang berlaku, doktor akan buat proses penyucian kandungan. Jadi apa yang berlaku adalah degupan jantung bayi sudah terhenti dan bukannya keguguran,” sambung Zila dalam nada sedih.

Zila Bakarin redha…

Sebelum ini, Zila pernah mengalami keguguran kandungan ketika usia Chinta enam bulan. Apa pun berlaku Zila dan suaminya redha dan menyifatkan itu bukan rezekinya buat kali ini. Semoga Zila sekeluarga tabah dan dikurniakan rezeki yang lebih baik.

Dalam perkembangan kerjaya, Zila baru tamat penggambaran telefilem Tiga Lima dan hasil lakonannya yang kini disiarkan di televisyen, Kenyalang I am In Love di TV3 setiap petang Sabtu dan Ahad.