“Abah saya buta, tapi dia travel satu Malaysia ajar Al-Quran pada orang”- Perkongsian PU Amin di IG buat ramai sebak

Siapa tidak kenal dengan pendakwah bebas terkenal, PU Amin yang bukan sahaja merupakan seorang yang amat lantang bersuara tetapi juga sudah lali dikecam bertubi-tubi terutamanya oleh golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Jarang berkongsikan tentang kisah keluarganya buat tatapan umum, beberapa jam yang lalu, pendakwah muda tersebut dilihat telah memuat naik sekeping foto bersama bapa yang tersayang dengan kapsyen yang cukup menyentuh hati.

Abah saya, Mohd Noor seorang yang cacat penglihatan. Dia buta tapi hatinya celik. Tak penat-penat pergi travel ke seluruh Malaysia untuk ajar Al-Quran pada orang-orang buta. Dulu, dia menabur bakti menterjemah & mengajar Al-Quran di Brunei. Matanya buta tetapi boleh baca & hafal Al-Quran. Banyak buku braile dia buat untuk orang-orang buta.

Kini, walau dirinya makin dimamah usia, masih tak letih untuk ajar Al-Quran pada orang-orang buta. Abah saya buta dari kecil , sebab tu saya sensitif tengok orang buta kutip derma, jual tisu, nyanyi tepi jalan. Apa lagi kalau ada yang jenis menganjing OKU, masuk tandas OKU dengan slumber. Abah jenis suka travel sendiri.

Dia sorang-sorang naik komuter & bas untuk dakwah. Bayangkan dengan tongkat si buta sebagai peneman, dakwah tetap berjalan. Tatkala dikecam dihina diri saya sebelum ini, mata yang tak dapat melihat itu menitiskan air mata.  Pesannya “lumrah dakwah” ada pedih sedikit. Alhamdulillah ada mama yang kuat & adik beradik yang membantu. Moga abah dapat melihat kami sekeluarga di akhirat kelak.

Kapsyen dan foto tersebut telah membuatkan laman Instagram pendakwah berusia 28 tahun itu dibanjiri dengan komen daripada para pengikutnya.