Bila Ada Adik Baru, 5 Perkara Ini Buat Mama Rindu Dekat Anak Sulung

“Dah tertidur pulak si Irfan ni. Puas dia ajak kita main Lego dengan dia tadi. Alahai, kesiannya anak Mama yang sorang ni. Maafkan Mama ya…”

Bila dah ada adik baru, bermulalah rutin harian yang sibuk seperti mana kita mula mendapat anak pertama dulu. Cuma cabaran kali ini pasti berbeza sebab kita punya seorang lagi anak yang masih perlu diurus.

Itulah anak sulung kita. Anak yang paling awal menghuni rahim kita. Kita semua punya ‘connection’ yang mendalam dengan mereka. Sebab di sebalik kelahiran mereka, kita juga‘terlahir’ sebagai seorang ibu. Ibu yang tak punya pengalaman. Ibu yang serba kekurangan. Ibu yang banyak ‘trial and error’.

Bila lahirnya adik baru, Mama selalu rindukan anak sulungnya walaupun kebanyakan masa tertumpu pada si adik.

5 PERKARA YANG BUAT MAMA RINDU SANGAT DEKAT ANAK SULUNG

Ini 5 perkara yang akan buat kita rasa ‘rindu’ pada si anak sulung, terutamanya ketika baru melahirkan anak kedua.

1. BILA KITA ‘TER’MARAH DIA

Ketika mengandung lagi, mungkin kita dah mula rasa penat nak melayan anak sulung. Tapi kita tahankan juga sebab kasihan.

Bila dah lahir si adik, Mama rasa macam dah tak ada tenaga lagi. Dengan penat tak cukup tidur, menyusukan bayi, mengurus makan minum suami, rasa tak terdaya nak menguruskan semuanya seorang diri.

Jadi bila si sulung buat ‘perangai’ sikit, kita pun mudah emosi, sedangkan mereka cuma nakkan perhatian kita.
Bila Ada Adik Baru, 5 Perkara Ini Buat Mama Rindu Dekat Anak Sulung
2. BILA KITA ASYIK JAWAB ‘SEKEJAP’

Apa-apa yang anak sulung minta, kita selalu jawab ‘sekejap lagi’. Kalau dulu kita akan usahakan untuk layan permintaan mereka seawal mungkin. Sekarang dengan bayi di pangkuan, kita dah tak menang tangan untuk penuhi permintaan mereka.

Mama selalu rasa bersalah bila terpaksa jawab benda yang sama berulang kali.
Bila Ada Adik Baru, 5 Perkara Ini Buat Mama Rindu Dekat Anak Sulung
3. BILA KITA KURANG MASA UNTUK DIA

Kadang-kadang terkenang waktu dulu masa kita hanya berdua dengan dia. Dialah peneman setia Mama walau di mana-mana.

Dia yang sentiasa dengan kita 24 jam siang dan malam. Dia tak pernah jemu dengan Mama. Dialah kekuatan Mama. Bila Papa outstation, dia yang teman Mama. Bila Mama bersedih, dia ada. Bila Mama gembira, dia lagi suka.

Kalau boleh memang kita nak luangkan banyak masa dengan dia. Tapi akhir-akhir ni rasa penat bukan kepalang. Baru ada mood nak berbual dan bermain sekejap, si adik pula dah menangis!
Bila Ada Adik Baru, 5 Perkara Ini Buat Mama Rindu Dekat Anak Sulung
4. BILA DIA MULA CARI PAPA

Dulu dia selalu dengan Mama. Bila Mama asyik sibuk menguruskan keperluan adik, Mama suruh minta apa-apa dekat Papa.

Sekarang dia dah biasa minta apa-apa dekat Papa. Walaupun memudahkan Mama, kadangkala rasa rindu nak dengar dia minta itu ini dengan kita. Mungkin dia sendiri dah faham dan tak nak susahkan kita.

Alahai, cemburu pun ada bila tengok diorang bergelak sakan tanpa kita.
Bila Ada Adik Baru, 5 Perkara Ini Buat Mama Rindu Dekat Anak Sulung
5. BILA KITA SEDAR DIA SEMAKIN BESAR

Semakin hari, anak sulung kita dah makin pandai berdikari. Kalau dulu hari-hari kita perhatikan mereka. Sekarang mungkin ada benda yang kita terlepas pandang. Tahu-tahu, dia dah belajar buat banyak benda sendiri.

Kalau dulu kita yang uruskan semuanya, sekarang dia dah belajar urus keperluan diri. Nak tunggu kita mungkin lambat sangat, last-last dia yang ambil nasi sendiri. Dia dah boleh pakai baju sendiri, mandi sendiri, tidur di bilik sendiri. Dalam terkedek-kedek dia tu pun, kalau boleh dia siap nak tolong Mama lagi.

Kita pun tersedar yang anak sulung kita dah makin besar. Mana anak sulung kita yang clingy sangat dulu? Mana anak sulung kita yang manja sangat dulu? Mana anak sulung yang kita asyik peluk cium dulu? Tolonglah jangan cepat sangat besar!
Bila Ada Adik Baru, 5 Perkara Ini Buat Mama Rindu Dekat Anak Sulung
DULU CUMA KITA DAN DIA

Inilah antara moment yang akan buat kita rindu dengan anak sulung kita. Dah tentulah kita akan rasa rindu sebab dulunya hanya kita dan dia. Rasanya semua ibu akan mengalami pengalaman yang sama, terutamanya ketika menyambut kehadiran anak kedua.

Sebab itulah orang kata anak sulung ni hubungannya luarbiasa dengan ibu. Bukanlah nak kata pilih kasih, setiap anak ada keistimewaan masing-masing dan inilah antara kelebihan setiap anak sulung.

Agaknya kalau ada anak ketiga dan keempat nanti, macam mana pula ya?