‘Jangan Politikkan PTPTN. Apapun Manifesto Kata, Kalau Dah Pinjam Kenalah Bayar’ – Dr. Maszlee Malik

Kementerian Pendidikan meminta pihak-pihak tertentu termasuk pembangkang agar tidak berterusan mengaitkan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata ini kerana setiap peminjam apa sekali pun, mereka perlu melunaskan hutang berkenaan termasuk dituntut di dalam Islam.

“Apa pun manifesto kata tetapi kalau sudah pinjam kenalah bayar hutang itu. Kalau sudah pinjam kenalah berusaha untuk membayar pinjaman itu.

“Pembangkang semua nak politikkan isu tetapi ini soal akhlak dan moral apabila pinjam duit kenalah bayar. Bayarlah walau dengan hanya RM10 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Siputeh di Kodiang, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abd Aziz Selaiman dan para pegawai kanan kementerian.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tiga hari lepas kesal terhadap sikap tidak amanah peminjam PTPTN yang menjadi punca jumlah tunggakan hutang pembayaran balik pinjaman tersebut menjangkau sehingga RM36 bilion.

Mahathir berkata kebanyakan daripada peminjam telah mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan sendiri namun masih belum mahu membayar hutang tersebut.

Manifesto HARAPAN pada kempen pilihan raya umum lalu menyebut untuk menangguh pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 kebawah sebulan.

Sementara itu mengenai prestasi kerja-kerja membaik pulih infrastruktur di sekolah-sekolah daif di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar, disiapkan segera bagi memberikan keselesaan kepada guru dan murid.
“Saya sasarkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah daif dapat disiapkan kerja-kerja berkenaan sehingga hujung tahun,” katanya.

Beliau secara dasarnya tidak berpuas hati dengan kerja-kerja berkenaan kerana disifatkan agak perlahan sejak diluluskan kerajaan terdahulu.

“Sekolah di Sarawak dan Sabah yang paling banyak masalah projek yang tidak disiapkan mengikut jadual dan ada juga masalah itu di beberapa buah negeri termasuk Johor, Terengganu dan Kedah,” katanya. – Bernama